[Bernama Online] Peruncit Mothercare, Kim Hin Joo sedia teroka segmen mainan untuk dorong pertumbuhan

Oleh HARIZAH HANIM MOHAMED

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Peruncit kedai Mothercare di Malaysia, Kim Hin Joo (Malaysia) Bhd, yang bakal disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Julai, bersedia untuk
meneroka potensi segmen barangan permainan untuk menjadi pemacu utama pendapatan syarikat.

Pada masa yang sama, syarikat itu turut merancang mengukuhkan kehadirannya dalam segmen bayi, kanak-kanak dan ibu (BCM) menerusi pembukaan lebih banyak kedai Mothercare di seluruh
negara.

Pengerusinya Pang Kim Hin melihat Kim Hin Joo belum meneroka segmen barangan permainan, dengan sumbangan daripada segmen itu kepada pendapatan syarikat hanya sebanyak tujuh
peratus walaupun sektor itu menawarkan potensi yang besar.

Bagi meneroka potensi tersebut, syarikat itu sedang memuktamadkan pejanjian pembangunan bersama peruncit barangan permainan UK, The Entertainer UK, dengan kedua-dua pihak dijangkakan menandatangani perjanjian pembangunan pada separuh kedua tahun ini.

Perjanjian itu memberikan Kim Hin Joo, hak eksklusif untuk membuka dan mengurus kedai barangan permainan The Entertainer UK di Malaysia.

Beliau berkata kedai pertama The Entertainer UK di Malaysia dijangka dibuka pada suku pertama 2020.

“Setiap sektor sama penting bagi kami, dan sudah pasti penyumbang utama kini ialah Mothercare, dan untuk masa depan, saya menjangkakan segmen barangan permainan akan memain
peranan penting.

“Sebaik sahaja bermula (membuka kedai pertama Entertainer UK, saya boleh katakan bukan tiga hingga empat kedai yang saya jangkakan untuk perniagaan ini, kami mesti mengembangkan perniagaan ini lebih besar daripada Mothercare,” katanya kepada Bernama, dan menambah bahawa Kim Hin Joo akan menjadi francaisi induk UK Entertainer untuk Malaysia.

Membandingkan BCM dan segmen barangan permainan, Pang berkata jumlah import produk BCM di bawah jenama Mothercare bernilai RM270 juta berbanding RM730 juta dalam segmen
barangan permainan, namun, sumbangan pendapatan syarikat oleh segmen barangan permainan kini terhad kerana ia melibatkan lebih banyak barangan permainan bayi.

“Kami hanya menjual barangan permainan bayi, dan tujuh peratus daripada pendapatan kumpulan diperoleh daripada segmen ini, suatu jumlah yang kecil kerana kita tidak berada dalam segmen
kanak-kanak yang lebih tua,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, sumbangan segmen runcit kepada pendapatan kumpulan berjumlah RM80.25 juta, manakala perniagaan pengagihan menyumbang RM17.43 juta.

Bagi tempoh itu, sumbangan rumah dan perjalanan kepada pendapatan berjumlah RM48.55 juta, diikuti segmen pakaian (RM42.66 juta) dan segmen barangan permainan (RM6.48 juta).

Bagi pengembangan BCM, Kim Hin Joo sedang meninjau untuk menambah empat hingga lima kedai Mothercare baharu kepada 17 kedai sedia ada.

Ia juga memperoleh dua premis di Sunway Velocity Mall dan Empire Shopping Gallery, yang dijadual dibuka pada suku ketiga 2019.

Sementara itu, sempena pelancaran prospektusnya hari ini, Kim Hin Joo yang mematuhi Syariah berkata tawaran awam permulaannya (IPO) melibatkan terbitan awam sebanyak 76 juta saham baharu atau 20 peratus daripada modal saham diperbesarkan kumpulan, yang menawarkan jualan 57 juta saham sedia ada atau 15 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan pada harga terbitan 43 sen sesaham.

Daripada jumlah terbitan awam, 19 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, 10 juta saham kepada yang layak dan baki 47 juta saham baharu diperuntukkan
untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Pang berkata syarikat itu dijangkakan mengumpul RM32.68 juta melalui IPO, dengan RM20 juta diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan.

Dana yang diperuntukkan itu akan digunakan untuk membuka lebih banyak cawangan Mothercare, kedai The Entertainer UK, membina semula dan menaik taraf struktur Maklumat dan  Teknologi, meningkatkan platform e-dagang serta memperluas perniagaan pengedarannya.

Permodalan pasaran Kim Hin Joo selepas penyenaraian berjumlah RM163.4 juta berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 380,000,000 saham.

Ditanya mengenai kedudukan pasaran semasa, Pang percaya keadaan pasaran kini tidak menentu walaupun sentimen pasaran semakin baik.

“Pasaran sudah pasti bertambah baik dan diharapkan kami akan kembali berurus niaga biasa sebaik sahaja kami beroperasi pada 8 Julai,” katanya.

Mengenai penstrukturan semula Mothercare UK dan impak sentimen pelabur, Pang berkata kestabilan Mothercare bertambah baik berikutan penstrukturan semula itu.

“Sekiranya anda bertanya tentang impaknya (penstrukturan semula terhadap sentimen pelabur), dua tahun lepas, impaknya sangat tinggi namun hari ini kestabilan Mothercare telah bertambah baik disebabkan oleh beberapa faktor, “Mereka telah menyusun dan melaksanakan permodalan semula seluruh syarikat, selain berpecah kepada unit berbeza, menjadikan semua perniagaan antarabangsa berada di bawah syarikat yang berbeza, oleh itu, apa pun yang berlaku dalam pasaran antarabangsa, ia tidak memberi impak kepada mereka, mengurangkan hutang serta menutup semua kedai yang merugikan,” kata Pang.

Barangan bayi UK mencatatkan kerugian yang lebih besar, sebanyak £87.3 juta pada 2018 berbanding £72.8 juta pada tahun sebelumnya, selain menutup lebih 40 peratus kedai fizikalnya
kepada 79 kedai berbanding 134 sebelumnya. Memandangkan prospek pertumbuhan di Malaysia lebih tinggi, Pang berkata senario peruncitan di UK tidak akan menjejaskan Malaysia kerana demografi dan tabiat perbelanjaan negara yang lebih baik.

“Mothercare UK kini menjalankan e-dagang, manakala kami mempunyai dua saluran pendapatan iaitu runcit, pengedaran, manakala e-dagang diletakkan di bawah segmen runcit.

“E-dagang dan runcit dikumpulkan bersama dan menyumbang 82 peratus kepada pendapatan kami. Jualan kami melalui platform dalam talian sebanyak dua peratus, sama dengan jualan purata edagang negara, dengan purata perniagaan e-dagang di Malaysia berada pada sekitar 2.5 peratus,” katanya.

Sehingga hari ini, kumpulan syarikat itu menjual 184 jenama pakaian, rumah dan perjalanan dan barangan permainan, serta mengedarkan 22 jenama produk rumah dan perjalanan kepada
peruncit tempatan selain peruncit dan pengedar luar negara. — BERNAMA