[Utusan Online] Kim Hin Joo lantik UOB Kay Hian sebagai penasihat prinsipal

KUALA LUMPUR 10 Jun – Peruncit barangan untuk ibu bersalin, kanak-kanak dan bayi, Kim Hin Joo (Malaysia) Bhd. melantik UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. sebagai penasihat prinsipal, penaja, penaja jamin dan ejen tawaran saham untuk penawaran awam permulaan (IPO) yang dijadualkan pada bulan depan.

Syarikat itu memegang francais untuk jenama Mothercare dan Early Learning Centre (ELC) di Malaysia.

Kim Hin Joo dalam kenyataannya berkata, UOB Kay Hian akan menjadi penaja jamin bagi sejumlah 29 juta saham.

Kim Hin Joo memegang francais untuk jenama Mothercare dan Early Learning Centre (ELC) di Malaysia. – GAMBAR HIASAN

“Ini terdiri 19 juta saham baharu yang tersedia untuk dipohon oleh orang awam Malaysia dan 10 juta saham baharu yang dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja syarikat yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kim Hin Joo dan anak-anak syarikatnya, tertakluk kepada penolakan balik dan peruntukan pengagihan semula yang dinyatakan di dalamnya,” katanya di sini hari ini.

Syarikat itu telah mendapat kelulusan bersyarat untuk disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia dan menyasarkan melancarkan prospektusnya pada bulan ini.

“Kami berada di peringkat sedang memuktamadkan perjanjian pembangunan dengan The Entertainer UK iaitu peruncit mainan yang berpangkalan di United Kingdom yang akan membolehkan syarikat itu membuka dan mengendalikan kedai patung mainan The Entertainer di Malaysia dan menjual pelbagai jenis patung mainan,” katanya.

Kim Jin Hoo mengendalikan 17 kedai Mothercare dan 11 kedai ELC. Kumpulan itu juga mempunyai 624 pusat pengedaran di seluruh negara termasuk kedai-kedai khusus, kedai serbaneka, pasar raya besar dan lain-lain peruncit.

IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 76 juta saham baharu dalam Kim Hin Joo dan tawaran untuk menjual 57 juta saham sedia ada syarikat itu. – BERNAMA