[Utusan Online] Kim Hin Joo Sedia Teroka Segmen Mainan

KUALA LUMPUR – Peruncit kedai Mothercare di Malaysia, Kim Hin Joo (Malaysia) Bhd. yang bakal disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Julai depan bersedia untuk meneroka potensi segmen barangan permainan untuk menjadi pemacu utama pendapatan syarikat.

Pada masa yang sama, syarikat itu turut merancang mengukuhkan kehadirannya dalam segmen bayi, kanak-kanak dan ibu (BCM) menerusi pembukaan lebih banyak kedai Mothercare di seluruh negara.

Pengerusinya, Pang Kim Hin berkata, Kim Hin Joo belum meneroka segmen barangan permainan dengan sumbangan daripada segmen itu kepada pendapatan syarikat hanya sebanyak tujuh peratus walaupun sektor itu menawarkan potensi yang besar.

Bagi meneroka potensi tersebut, syarikat itu sedang memuktamadkan perjanjian pembangunan bersama peruncit barangan permainan United Kingdom, The Entertainer UK dengan kedua-dua pihak dijangka menandatangani perjanjian pembangunan pada separuh kedua tahun ini.

Perjanjian itu memberikan Kim Hin Joo hak eksklusif untuk membuka dan mengurus kedai barangan permainan The Entertainer UK di Malaysia.

Beliau berkata, kedai pertama The Entertainer UK di Malaysia dijangka dibuka pada suku pertama 2020.

“Setiap sektor sama penting bagi kami dan sudah pasti penyumbang utama kini ialah Mothercare dan untuk masa depan, saya menjangkakan segmen barangan permainan akan memain peranan penting.

“Sebaik sahaja bermula (membuka kedai pertama Entertainer UK), saya boleh katakan kami mesti mengembangkan perniagaan ini lebih besar daripada Mothercare,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA